Soalan
1
Tulis beberapa nilai
atau pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah ini. Panjang
jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Encik Rahman ialah seorang pemandu
teksi. Biasanya dia mula mengambil penumpang seawal jam 8.00 pagi, selepas
menghantar dua orang anaknya ke sekolah. Penumpang-penumpangnya terdiri
daripada pekerja sektor swasta dan sektor kerajaan. Encik Rahman mengambil dan
menghantar penumpang ke seluruh pelusuk bandar raya Kuala Lumpur.
Waktu pagi dan petang adalah waktu
puncak kesesakan jalan raya. Banyak kenderaan
berpusu-pusu di jalan raya. Bunyi hon kenderaan akibat pemandu-pemandu
yang tidak sabar kedengaran di sana sini. Walaupun begitu, Encik Rahman sentiasa
bersikap tenang. Dia selalu mengamalkan sikap berhemah dan bertimbang rasa di
jalan raya.
Encik Rahman sentiasa berpakaian kemas
dan mesra dengan penumpang-penumpangnya. Dia tidak pernah menipu penumpangnya.
Bayaran tambang dibuat mengikut bacaan meter. Pergaulannya dengan rakan-rakan
juga baik. Encik Rahman akan meluangkan masa untuk isteri dan anak-anaknya pada
sebelah malam. Dia selalu menyemak kerja-kerja sekolah anaknya.
Cadangan jawapan
-Bertanggungjawab - menghantar anak ke sekolah sebelum pergi
bekerja
-Penyabar - sentiasa
bersikap tenang biarpun jalan raya sesak.
-Tidak mementingkan diri sendiri - sentiasa mengamalkan sikap
berhemah dan bertimbang rasa di jalan raya.
-Beretika - berpakaian kemas dan mesra dengan para penumpang
-Jujur - bayaran yang dikenakan kepada penumpang tepat menurut
bacaan meter
-Menghormati orang lain - pergaulannya dengan rakan-rakannya baik
-Mementingkan keluarga - meluangkan masa untuk isteri dan anak-anak
-Mementingkan pendidikan - menyemak kerja-kerja sekolah anaknya
Soalan 2
Tulis beberapa nilai
atau pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah ini. Panjang
jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Melisa selalu mendapat pujian
guru-gurunya kerana dia sentiasa mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.
Melisa seorang murid yang rajin belajar. Di dalam kelas, dia menumpukan sepenuh
perhatian semasa guru mengajar. Melisa rajin bertanya soalan kepada guru jika
dia kurang faham tentang pelajarannya.
Melisa juga bergaul mesra dengan
rakan-rakannya. Dia selalu bermain dan belajar bersama-sama mereka. Melisa
sering mendorong rakan-rakannya supaya belajar bersungguh-sungguh. Melisa juga
aktif dalam kegiatan kokurikulum. Dia mewakili rumah sukannya dalam acara
lompat tinggi, menyertai persatuan pengakap, kelab komputer, dan
tae-kwan-do.
Di rumah, Melisa akan belajar secara
sistematik mengikut jadual waktu yang telah disediakannya. Pada hujung minggu,
Melisa akan membantu ibunya mengemas rumah. Melisa juga selalu membasuh kasut
sekolahnya sendiri. Dia tidak suka membebankan ibunya dengan kerja-kerja yang
boleh dilakukannya sendiri.
Cadangan jawapan
-Mementingkan pendidikan - Menumpukan sepenuh perhatian semasa guru
mengajar
-Bersikap positif untuk memajukan diri - rajin bertanya bertanya kepada guru jika
kurang faham tentang pelajaran
-Baik hati dan peramah - bergaul mesra dan belajar dengan rakan-rakan yang lain
-Suka membantu orang lain - mendorong rakan-rakan agar belajar
bersungguh-sungguh
-Seimbang dalam pelajaran - menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum
-Berdisiplin - belajar secara sistematik berdasarkan jadual waktu
belajar yang telah disediakan
-Tidak mementingkan diri - menolong ibu melakukan kerja rumah pada
hujung minggu dan membasuh kasut sekolah sendiri
Soalan 3
Tulis beberapa nilai
atau pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah ini. Panjang
jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Shahira terpilih untuk mewakili sekolahnya
dalam pertandingan perbahasan. Pertandingan itu akan bermula kira-kira dua
minggu lagi. Setiap hari pada pukul 4.00 petang, Shahira akan turun ke sekolah untuk berbincang dengan tiga orang rakannya dan guru
pembimbing mereka. Mereka berbincang tentang persiapan, bahan-bahan rujukan,
dan membuat latihan intensif.
Setiap petang, Shahira bersiap awal
untuk pergi ke sekolah. Dia tidak mahu tiba lewat dan membuat rakan-rakannya
tertunggu-tunggu. Sebelum pergi, dia akan memberitahu ibunya. Shahira melakukan
latihan perbahasan dengan bersungguh-sungguh. Dia memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada
rakan-rakan dan guru pembimbingnya. Shahira berazam untuk memenangi pertandingan
itu dan mengharumkan nama sekolahnya.
Shahira selalu bersedia dengan bahan
bacaan dan rujukan yang diperlukan agar dapat dibentangkan dalam perbincangan
dengan rakan-rakannya. Dia sentiasa memberi cadangan agar mutu perbahasan
mereka dapat dipertingkatkan.
Rakan-rakan Shahira sangat menghormati sikap
Shahira yang berdedikasi dan rajin itu.
Cadangan jawapan
-Menepati janji - berjumpa dengan rakan-rakan dan guru pembimbing
di sekolah
-Menepati masa - tiba lebih awal daripada yang dijanjikan
-Menghormati ibu bapa - memberitahu dan meminta izin ibu sebelum
keluar
-Sepenuh hati - berlatih dengan bersungguh-sungguh
-Bekerja dalam satu pasukan - memberikan kerjasama kepada
rakan-rakan dan guru pembimbing
-Mempunyai matlamat - berazam untuk memenangi pertandingan tersebut
dan mengharumkan nama sekolah
-Berinisiatif - selalu bersedia dengan bahan bacaan dan rujukan
yang diperlukan
-Berpandangan jauh - sentiasa memberi cadangan untuk membaiki mutu
perbahasan
Soalan 4
Tulis beberapa nilai
atau pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah ini. Panjang
jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Doren dilahirkan pekak dan bisu. Ibu
bapanya tidak pernah menganggap dia beban, sebaliknya memberi dia peluang hidup
berdikari seperti insan normal. Ibu
bapanya menghantar Doren ke sekolah pendidikan khas. Guru-guru di sekolah juga melayan dia dengan
baik. Doren belajar mengembangkan minat, kemampuan, dan potensi yang ada.
Doren sering menghadapi kesukaran
untuk berkomunikasi dengan orang lain. Dia hanya boleh berkomunikasi dengan
golongan normal dengan menggunakan bahasa isyarat. Oleh itu, ibu bapanya telah
mengambil inisiatif untuk belajar bahasa isyarat.
Doren melibatkan diri dengan aktiviti
sukan di sekolah. Doren amat meminati permainan bola jaring. Dia pernah
mewakili sekolahnya dalam pertandingan bola jaring peringkat daerah. Oleh
sebab, golongan pekak dan bisu tidak dapat mendengar bunyi tiupan wisel
pengadil, mereka diberi teguran dengan bendera. Doren berasa gembira kerana ada
pihak yang prihatin dengan golongan kurang upaya seperti dirinya. Doren tidak
pernah berasa rendah diri dengan kekurangannya, sebaliknya berazam untuk
berjaya dalam pelajarannya.
Cadangan jawapan
-Bersyukur - memberi peluang kepada anak yang kurang upaya untuk
berdikari dan bukan dianggap sebagai beban
-Mementingkan pendidikan - menghantar anak ke sekolah pendidikan
khas
-Berinisiatif - ibu bapa mengambil langkah untuk belajar bahasa
isyarat
-Mengasah potensi dan bakat - mewakili sekolah dalam pertandingan
bola jaring
-Prihatin - pengadil menggunakan bendera semasa mengadili permainan
bola jaring yang melibatkan orang pekak dan bisu
-Berkeyakinan - tidak berasa rendah diri dengan kekurangan yang ada
-Bercita-cita tinggi - berazam untuk berjaya dalam pelajaran
Soalan 5
Tulis beberapa nilai
atau pengajaran yang kamu boleh dapati daripada petikan di bawah ini. Panjang
jawapan kamu mestilah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.
Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.
Berhati-hati
berjalan di lorong,
Takut
nanti terpijak duri;
Jangan
selalu bercakap bohong,
Takut
nanti memakan diri.
Puasku
cari ke sana ke mari,
Rupanya
disimpan di dalam laci;
Janganlah
suka meninggi diri,
Kelak
membuat kawan-kawan benci.
Masak
ranum buah keranji,
Mari
disimpan di dalam peti;
Tua
dan muda sama dihormati,
Itulah
sikap amalan terpuji.
Jalan-jalan
naik kereta,
Mari
pergi ke pinggir desa;
Sopan-santun
budaya kita,
Terserlah
indah budi bahasa.
Cadangan Jawapan:
-Jangan suka bercakap bohong
-Orang yang suka bercakap bohong akhirnya akan mendapat kesusahan
atau malu apabila diketahui orang lain
-Jangan suka meninggikan diri
-Orang yang suka meninggikan diri akan dijauhi dan dibenci
-Semua orang harus dihormati tidak kira tua ataupun muda
-Sikap menghormati orang lain adalah amalan yang terpuji
-Sopan-santun mencerminkan budaya masyarakat kita
-Sikap sopan-santun akan
menyerlahkan keindahan budi bahasa
Bahan pengajaran yang baik untuk saya, terima kasih!
BalasPadam